Tuesday 26 July 2016

Berhenti Merokok

Ini adalah sebutharga untuk satu alat yang perlu dibeli oleh seorang pesakit saya untuk diletakkan di jantungnya. Harganya ialah RM84 800!!! Bukan suatu jumlah yang kecil dan main2.

Dia baru berusia 37 TAHUN! Dia sebelum ini sihat walafiat cuma dia tidak mensyukuri nikmat itu dengan menjebakkan dirinya di dalam KETAGIHAN ROKOK dari usia belasan tahun. Hari ini beliau berkali2 menyatakan seribu kesesalan kerana merokok itulah yang MERAGUT dan MERAMPAS usia mudanya. Dia hilang segala2nya yang mendefinisikan dia sebagai seorang lelaki pada awal tahun ini bila dia diserang sakit jantung. Kalaulah waktu itu mampu diputarkan kembali katanya... Dia tidak pernah menyangka dirinya akan terjelepuk ketidakupayaan pada usia 30an. Dia sudah hilang 25 kg sejak tarikh keramat itu.

Jantungnya sudah gagal berfungsi sedangkan dia baru masuk ke usia produktif. Dia punya seorang isteri dan 3 orang anak yang masih kecil. Dia sekarang hanya menunggu masa untuk mendapat bantuan kewangan untuk membiayai alat CRT itu dan harapannya menggunung tinggi semoga permohonannya diluluskan. Mana mungkin dia menyediakan sejumlah wang sebegitu besar.

Hari ini seperti biasa, saya menadah telinga mendengar keluhan dan rintihan hati seorang suami yang sudah tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab batinnya kepada isteri tersayang. Berjalan pun dia termengah2 walaupun hanya beberapa meter inikan pula untuk bersama isteri. Dia tidak mampu untuk memandu pulang ke kampung di pantai timur untuk meraikan Aidilfitri nanti kerana untuk datang bekerja yang hanya 10 km dari rumah pun, dia terasa beratnya seolah2 dia memandu lori. Perjalanan jauh pastinya bukan lagi termasuk di dalam diari hidupnya. Dia tidak mampu untuk menemani isteri dan anak2 untuk membeli belah untuk persiapan Hari Raya. Untuk ke masjid untuk solat terawih pun dia tidak mempunyai daya.

Mukanya pucat lesu. Tidak bermaya dan raut wajahnya sudah kelihatan dia di usia pertengahan abad. Dia tidak dapat lagi menemani anak2 ke taman permainan. Untuk bergurau senda pun dia tidak bertenaga. Dia bukan lagi ayah seperti dulu. Ayah yang aktif dulu sudah lenyap. Sepanjang perbualan kami, beberapa kali dia terbatuk2 dan tercungap2 menarik nafas. Kakinya bengkak hingga ke paras bawah lutut. Paru2nya menunjukkan ada pengumpulan cecair. Dia tidur berlapikkan 3 biji bantal pada waktu malam.

Dia rindukan hobinya untuk memancing di laut dalam. Dia teringatkan kemampuannya untuk menyertai aktiviti lasak. Semua itu hanya tinggal kenangan. Dia menyimpan hasrat dengan adanya alat tersebut, kehidupannya akan bertambah baik. Sudah tidak tertanggung beban di bahu.

Nasi sudah menjadi bubur. Amanah Allah padanya dipandang ringan. Tubuh badannya ada amanah untuknya tetapi dibinasakan kerana merokok. Mudah untuk perokok2 di luar sana menyatakan mereka tidak akan diserang penyakit jantung. Siapa tahu? Pesakit saya pun tidak pernah terlintas yang merokok itu merobek seluruh hidupnya. Kebinasaan yang disebabkan dirinya sendiri...

Setiap hari saya menghadapi situasi untuk menyedarkan perokok2 tentang ketagihan mereka sebelum ia sudah terlalu lambat seperti yang terjadi kepada pesakit saya ini. Bukan mudah kerana merokok adalah budaya di kalangan mereka yang di bawah jagaan saya. Semoga saya dikuatkan hati untuk sentiasa istiqamah dalam menjalankan tugas. Aamiin...

NOTA KAKI:
Saya izinkan para pembaca untuk berkongsi status saya TETAPI SAYA TIDAK BENARKAN tulisan saya dijadikan bahan untuk tujuan promosi produk insurans. Saya tidak mahu disalah anggap dan saya tidak ingin dieksplotasi oleh mana2 pihak.


No comments:

Post a Comment